AITI perkukuh penguatkuasaan PDPO, pupuk ekosistem data





Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid



JERUDONG, Selasa, 27 Januari. - Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) menganjurkan Persidangan Perlindungan Data Peribadi (Personal Data Protection – PDP) 2026 yang julung kali diadakan di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei, hari ini.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.


Turut hadir, Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; serta Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap daripada beberapa kementerian.


Persidangan berkenaan menghimpunkan lebih 250 orang peserta yang terdiri daripada wakil-wakil agensi kerajaan, sektor swasta serta para pemegang taruh industri.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Al-Ameerah Al-Hajah Maryam, Awang Haji Mohd. Amaluddin bin Haji Jamaluddin.


Majlis seterusnya menyaksikan ucapan alu-aluan oleh Ketua Eksekutif AITI, Awang Haji Jailani bin Haji Buntar, yang antara lain menekankan permulaan era transformatif landskap digital Negara Brunei Darussalam (NBD) berikutan penguatkuasaan Perintah Perlindungan Data Peribadi 2025 (PDPO).


Beliau menjelaskan bahawa PDPO menyediakan rangka kerja kukuh berteraskan kepercayaan, privasi dan akauntabiliti bagi menggalakkan inovasi digital, di samping menyokong industri melalui pembangunan keupayaan ke arah mewujudkan persekitaran yang dipercayai, seterusnya merangsang keterhubungan antarabangsa dan pertumbuhan ekonomi.


Dalam ucapannya juga mengumumkan identiti baharu AITI, yang mencerminkan peluasan mandatnya sebagai pengawal selia sektor pos serta pihak berkuasa perlindungan data peribadi bagi sektor swasta, di samping menzahirkan komitmen berterusan AITI terhadap masa depan digital NBD.


Pada majlis tersebut, AITI turut melancarkan PDP Essentials Infokit yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.


Infokit berkenaan dibangunkan sebagai panduan praktikal kepada organisasi dalam melaksanakan akauntabiliti terhadap data peribadi yang diamanahkan kepada mereka, termasuk maklumat mengenai langkah-langkah munasabah dalam memastikan dasar, proses dan amalan perlindungan data peribadi yang bersesuaian dilaksanakan.


Persidangan PDP 2026 turut menampilkan ucaptama dan sesi panel yang melibatkan pakar-pakar serantau terkemuka, antaranya ialah Yeong Zee Kin dari Singapore Academy of Law; Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi Malaysia, Shariffah Rashidah binti Syed Othman; Thienchai Na Nakorn dari Personal Data Protection Committee Thailand; Adeline Tung dari Personal Data Protection Commission Singapore; Wong Kar Hong dari Young Technologies Consulting Singapore; Yusof Fadli Sidek dari Bank Islam Brunei Darussalam; Izzul Hamzi Jomari dari Gleneagles; serta Eu Gene Tan dari AsiaDPO.


Perbincangan yang diadakan antara lain meneliti peranan pematuhan terhadap peraturan perlindungan data sebagai pemangkin kepada pelaburan dan pembangunan, selain memudah cara aliran data rentas sempadan.


Sesi panel penutup turut mengongsikan strategi praktikal dalam memperkukuh kecekapan Pegawai Perlindungan Data serta menyemai budaya privasi dalam organisasi.


AITI akan terus memperkukuh penguatkuasaan PDPO dan memupuk ekosistem data yang dipercayai di NBD.



Close